Thursday, September 04, 2008

Selamat Ulangtahun Abah!

Hari ni ulangtahun kelahiran Abah. Kelmarin ingat lagi, tapi sebab semalam dan hari ni sibuk sangat, aku jadi terlupa. Baru kejap teringat semula. Tapi sekarang dah tengah malam. Nantilah, aku telefon masa mereka bangun sahur; dalam pukul 4.45pg waktu Malaysia.

Mengikut Surat Sumpah, Abah lahir tahun 1943. Bukan boleh percaya sangat. Sebabnya, adik bongsu abah, Busu Wahab pula lahir tahun 1941 (aku tak pasti tulis dalam Surat Sumpah ke Surat Beranak). Macamana tu?

Pernah suatu hari, Abah bercerita: Masa zaman Jepun, Abah duduk dengan Tok Adan yang rumahnya di hujung kampung, dekat dengan sawah padi. Abah jalan sorang-sorang dekat sawah. Tiba-tiba Abah terserempak dengan askar Jepun. Dia panggil. Abah datang dekat. Dia bagi ubi, satu guni. Abah heret balik ke rumah.

Jepun duduk kat Tanah Melayu 15 Februari 1942 sampai 12 September 1945. Kalau Abah lahir tahun 1943, umur maksimum Abah masa Jepun ada ialah 2 tahun. Budak 2 tahun dah boleh ingat ke? Boleh tarik guni ubi ke? Kurang-kurang pun 3 atau 4 tahun rasanya. Jadi, aku wat kesimpulan sendiri yang Abah sebenarnya lahir tahun 1942 atau lebih awal lagi.

Tapi tak kiralah berapa pun umur Abah sekarang, yang pasti sempena ulangtahun kelahiran ni, Abin doakan moga Allah panjangkan umur Abah agar Abah dapat terus beribadat kepadaNya, murahkan rezeki Abah agar Abah boleh terus beramal jariah dan juga tetapkan iman Abah agar Abah ditempatkan bersama-sama dengan hamba-hambaNya yang soleh di dunia dan akhirat.

Abin sayang Abah! (",)


No comments: