Thursday, February 05, 2009

Penyapuan Khuf Dan Jama' Solat

Berada di negara orang sedikit sebanyak memperlihatkan akan Islam, satu agama yang indah, sesuai diamalkan dimana sahaja dan dalam apa jua keadaan tanpa menyusahkan dan memenatkan umatnya. Rukshoh merupakan keringanan yang dianugerahkan kepada kita. Teringat saya pada kata-kata Y. Bhg Prof Dr. Abd Majid, Ruksoh ibarat hadiah daripada Allah SWT yang patut kita hargai dan tak patut ditolak. Allah swt sentiasa memberi kemudahan kepada hambanya yang menghadapi kesukaran.

Firman Allah swt :
"(Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan dan Dia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran"[al-Baqarah : 185]

Solat Jama' tanpa Musafir

Menjama'kan solat diperbolehkan apabila berlaku kesukaran. Menurut Ibn Utsaimin rh., apabila timbul kesukaran maka diperbolehkan menjama' solat, contohnya kesukaran mengambil wudhu', ketika hujan lebat, bencana alam, waktu peperiksaan/ kuliah/ mesyuarat/ kajian yang tidak dapat dielakkan, tugas yang berat (Polis, Doktor, Penyelamat), Peperangan DSB.... Fatwa mengenai Solat Jama' tanpa bermusafir ini telah dibincangkan oleh Sheikh Dr Yusuf Al-Qaradhawi (Rujuk Fatawa Mua'sarah).

Namun begitu, Jumhur ulama' mengatakan bahawa menjama' solat tanpa uzur tidak dibenarkan. Ianya tidak harus dilazimi, sebaiknya kita diharuskan berusaha untuk mencari waktu dan peluang mengerjakan solat sebagaimana waktunya. Dr Abdullah al-Faqih [Fatwa :134] berkata, wajib seseorang itu melakukan solat pada waktunya jika tidak ada keuzuran. Bertetapan dengan firman Allah SWT. "Sesungguhnya solat itu difardhukan ke atas mu'min atas waktu yang telah ditetapkan".

Menjamakkan solat HANYA dibolehkan pada Solat Asar dijamakkan pada Waktu Zohor (Taqdim) atau sebaliknya (Ta'khir), DAN Solat Isya' pada waktu Solat Maghrib (Taqdim) atau sebaliknya (Ta'khir). (RUJUK = Al-Lajnah al-Daa'imah Al-Buhooth al-'Ilmiyyah wa Al-Ifta')

Penyapuan Khuf/ Stokin

Hukum penyapuan Khuf sama hukumnya sebagaimana penyapuan pada stokin atau kasut. Kata Ibn Umar alKhattab ra (sahabat yg amat tegas menjaga sunnah), " Adapun sapu stokin itu menyamai sapu atas khuf" (alMusannaf lil Ibn Abi Syaibah, 1/173)

Menyapu khuf adalah diharuskan berdasarkan empat mazhab, Ia BOLEH samada ketika musafir, mukim atau samada dalam keadaan sejuk, panas, darurat ataupun tidak. Ia menepati basuhan dua kaki di dalam wuduk.

Dalil keharusan menyapu stokin

1-Dalil membolehkan menyapu selain khuff ialah hadith al-Mughirah bin Syubah yg menyatakan, bahawa Nabi saw berwudhu' dan biasa menyapu stokin dan kasutnya" [dikeluarkan oleh alTermidzi dalam Sunannya (92), disahihkan oleh al-Albani, sahih sunan atTermidzi 86].

2-Kata-kata Bilal, `Saya melihat Nabi Muhammad menyapu kedua stokinnya dan juga serbannya’. (Diriwayatkan oleh Ahmad, al-Tarmizi dan at-Tabrani. Dikategorikan Hasan Sohih oleh Tarmizi).

3-Terdapat ramai sahabat yang mengharuskan perbuatan menyapu stokin yang tidak diperbuat daripada kulit sehingga mencapai darjat mutawatir. Mereka ialah Ali, Ammar bin Yasir, Ibnu Masud, Anas, Ibnu Umar, Barra, Bilal, Ibnu Abi Aufa dan Sahl bin Saad. Ia juga diamalkan oleh kebanyakan tabiin yang terkemuka seperti Ata’, Hassan Basri, Said bin Musayyab, Ibn Jubair, Nakha’i dan Thawri.

4-Ulama kontemporari bermazhab Syafie, Dr. Wahbah Zuhayli memilih pendapat yang mengharuskan menyapu stokin sebagai rukhsoh (keringanan) bagi umat Islam terutamanya bagi mereka yang bermusafir.

5-Ulama’ terkemuka masa kini, Dr. Yusof Qardhawi juga memilih pendapat ini sebagai rukhsoh keringanan) bagi umat Islam. (Fatawa Mu’ashoroh 1:215)

Syarat-syarat dan cara-cara menyapu khuf / stokin

1-Stokin yang dipakai mestilah tebal dan tidak sampai air ke kulit apabila disapu.

2-Hendaklah berwudhu’ terlebih dahulu seperti biasa sebelum memakai stokin dengan membasuh kaki dengan sempurna.

3-Apabila ingin mengambil wudhu’ yang baru (sekiranya terbatal ataupun ingin memperbaharui wudhu’), bolehlah disapu di atas stokin tanpa membuangnya.

4-Stokin yang dipakai hendaklah menutupi seluruh kaki sehingga ke buku lali.

5-Bagi seorang musafir, bolehlah mengambil wudhu dengan menyapu stokin (setelah mematuhi syarat-syarat) selama 3 hari 3 malam bermula daripada hari pertama musafir.

6-Setelah tempoh itu, hendaklah berwudhu’ seperti biasa. Sekiranya ingin menggunakan rukhsoh menyapu stokin, hendaklah memulakan syarat daripada awal dengan berwudhu’ seperti biasa dan barulah boleh menggunakan rukhsoh ini.

7-Cara sapuan hendaklah di sebelah atas khuf sahaja bermula daripada hujung kaki sehingga ke buku lali dan memadai dengan sekali sapuan sahaja.

Perkara-perkara yang membatalkan wudhu’ dengan stokin

1-Berlaku salah satu perkara yang membatalkan wudhu’.

2-Tamat tempoh yang dibenarkan (sehari semalam bagi yang bermukim dan 3 hari 3 malam bagi yang musafir).

3-Membuka stokin.

Wallaua'lam...

Firman Allah SWT: "Dan Dia tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan susah payah dalam perkara agama" [al-Haj : 78]

Islam itu Mudah dan ia memudahkan.

Oleh:
Ustaz Riswadi Azmi, Pegawai Hal Ehwal Islam UMT

No comments: